NUKILAN



PERUTUSAN
Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) 2013



SALIMAH BERTEKAD TAHUN 2013 SEBAGAI TAHUN MERUBAH BUDAYA HIDUP MASYARAKAT


SALIMAH mengharapkan kedatangan 2013 merupakan tahun yang akan membawa anjakan besar dalam budaya hidup masyarakat.

Sepanjang tahun 2012 tidak sedikit peristiwa kerosakan sosial dilakar oleh budaya hidup masyarakat yang sangat rapuh dari segi nilai hidup Islam. Gambaran krisis nilai juga dapat di kesan merentas kaum dan agama sepanjang tahun tersebut.



Walaupun dikatakan kadar jenayah masyarakat menurun namun ia tetap menunjukkan Negara menuju kepada kerapuhan sosial bila anggota polis terpaksa di tambah untuk menjaga sekuriti penduduk diseluruh Negara.

Tidak sedikit juga konflik sosial sering diketengahkan sehingga mengambarkan jika perubahan nilai hidup tidak dipulih , negara akan berhadapan dengan situasi yang gelap untuk tahun 2013. Kesangsian sosial antara kaum sedikit sebanyak menunjukkan perhubungan antara kaum boleh tergugat jika masyarakat hidup tidak berasaskan kekuatan saling menghormati antara agama .

Budaya hidup masyarakat dikalangan anak muda juga sangat mengkhuatirkan . Fenomena generasi muda maseh ramai yang terheret dengan gejala kerosakan akhlaq tidak menjamin keadaan akan menjadi bertambah baik. 

SALIMAH merumuskan pokok persoalan yang utama dalam mencorak hidup masyarakat ialah memperkukuhkan kerukunan sosio-budaya . Manakala sosio-budaya masyarakat dibentuk oleh pegangan hidup agama yang mengatasi segala ukuran material.

Malangnya seperti tahun sebelum , 2012 maseh diwarnai oleh gejala sosio-budaya yang rapuh dan sangat tercemar. Pengaruh luar yang sarat dengan nilai hidup berpoya dan tidak berpegang kepada nilai agama telah mengakibatkan masyarakat hanyut dengan gaya hidup hedonistik.

Oleh itu pelbagai konflik masyarakat yang berlaku akhirnya dapat dirumuskan berpunca dari kerapuhan nilai hidup . Rakyat Malaysia kini jelas sangat terpengaruh dengan budaya hidup ala Barat yang berasaskan falsafah hidup kebendaan yang tidak terkawal. Tanda bahawa gaya hidup liberal dan sekular Barat  telah mewarnai hidup masyarakat dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan . 

Nyata kegiatan seperti hiburan melampau batas , budaya popular yang ditonjol dalam media , budaya hidup elitis dan bermewahan , dan gaya hidup generasi muda yang banyak dipengaruhi oleh nilai asing , kini berleluasa. Malangnya  pengaruh dari luar ini semakin mendalam dan meluas.

Dengan yang demikian masyarakat mudah terheret ke dalam pelbagai kemelut yang tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk menyelesaikan krisis yang timbul.

SALIMAH mengharapkan tahun 2013 boleh menjadi tahun yang akan dirangsang oleh semangat untuk kembali kepada nilai hidup yang lebih murni. Kami berazam untuk menyumbang kepada masyarakat  dalam rangka untuk membina negara ini berteraskan nilai hidup yang berteraskan Ketuhanan.



Sementara itu SALIMAH menegaskan masyarakat Islam sepatutnya menunjukkan keiltizaman yang lebih kukuh untuk kembali kepada nilai hidup berasaskan ketaqwaan dan keimanan yang mendalam. Tahun 2013 hanya sebagai pernyataan azam bukanlah suatu kalender yang tepat untuk diikuti kaum Muslimin. Namun jika ia maseh mahu dijadi ukuran waktu untuk merencana perubahan dan takwin aktiviti , maka SALIMAH mengharap biarlah ia berasaskan keiltizaman untuk menghayati amalan hidup Islam yang menyeluruh.


SALIMAH berazam untuk menyemarakan kefahaman dan penghayatan hIdup Islam dalam masyarakat dalam seluruh aspek kehidupan. Kami menegaskan bahawa hanya dengan kembali kepada Islam secara menyeluruh maka kemuliaan umat Islam akan dapat dipulih.

SALIMAH juga menegaskan peranan para ilmuan , ulama dan umara adalah sangat krusial jika pembinaan masyarakat hendak dibangunkan sesuai dengan maqasid syariah yang ditetapkan Islam. Dengan panduan para ulama yang ikhlas dan tegas , umara yang amanah serta ilmuan yang memegang janji setia kepada amanah ilmu , masyarakat akan terjamin selamat dari kerosakan. Jika sebaliknya para ulama terperangkap dengan habuan keduniaan , manakala umara pula mengkhianati amanah rakyat dan para ilmuan terheret hanya mementingkan kesenangan dalam kerjaya masing-masing, maka masa depan seluruh masyarakat akan gelap.


SALIMAH merumuskan keiltizamannya untuk menjadi kenderaan mengembleng masyarakat agar membangunkan masyarakat dan negara yang kuat berpegang kepada prinsip Islam .

Tahun 2013 sepatutnya menjadi tahun anjakan dan tahun melonjakkan perubahan untuk mengarusperdanakan budaya hidup Islam , bermula dengan keiltizaman untuk menyanggah segala kemungkaran dan penyelewengan melalui gerakerja nahi mungkar. Serentak dengan itu mengukuhkan gerakerja membina melalui program menyuburkan al bir dan amar ma'ruf.



SELAMAT TAHUN BARU.


Datin Ustazah Aminah Zakariah
Yang DiPertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH)




PESAN BUAT KEPIMPINAN SALIMAH

Dari Cikgu Azmi

13 Disember 2012

Datin Ustazah Aminah yang dimuliakan dan seluruh saf kepimpinan Salimah Pusat dan Negeri yang disanjungi.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan salam untuk junjungan Rasulullah s.a.w , seluruh ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Dalam saat menahan sedikit kesakitan , saya menyusun jari jemari yang sedikit lemah ,  memohon maaf kerana keuzuran yang tidak memungkinkan saya hadhir di mesyuarat Salimah walaupun sudah ditunda ke tarikh yang saya sendiri cadangkan. Allah jua yang lebih mengetahui hikmah disebalik keuzuran yang saya lalui ini. Namun saya tetap merasa terpanggil untuk mengagahkan diri menukilkan serangkap kalimat , serangkai ayat , menyampaikan pesan dan kesan kepada kepimpinan Salimah sekalian.

 Tidak mudah membangun dan mengasuh sebuah gerakan atas nama ummah apatah lagi beriftitahkan ‘aqad kepada Rabbul Jalil , pengamat sekali janji , penuntut segala syahadah. Kita bersama semata mata atas kesadaran yang murni memulakan langkah berjanji setia dan  bermuafakat sekata . Salimah adalah wadah yang kita asuh dan tatang dengan niat satu-satunya.Iaitu ingin menyumbang kepada umat , berbakti kepada manusia dan mengabdi kepada Allah. Tiada lain dari hanya itu. Jika terlintas ada niat yang lain maka segeralah mengadap kepada Illahi memohon keampunan agar amal yang sedikit ini , khairat yang secebis ini tidak gugur disisi Allah. Kerana ini sahaja yang terdaya oleh kita yang sangat kerdil ini . Bagaikan setitis air dalam kelautan KasehNya. Layakkah kita  menagih Redha Allah jika yang kita ghairahkan hanya untuk menempa pujian manusia dan mendapat sanjungan seisi dunia .

Saya amat teruja dengan kalimat “persaudaraan” yang terpahat kepada Salimah. Sederhana amat kata-kata itu . Terlalu kebiasaan pada sebutannya. Akan tetapi saya sedar bahawa ia rengan pada bibir namun amat berat pada tanggungan.

 Masakan tidak. Salimah tidak berdiri hanya kerana mahu hadhir. Tidak seharusnya Salimah tertegak hanya untuk menambah hitungan . Persaudaraan yang tertambat pada nama Salimah punya konsekuen yang besar dan berat. Ia bermula pada diri setiap kepimpinan Salimah. Pertautan kaseh , jalinan kemesraan , saling bertasamuh dan tetap sokong menyokong saat beraktiviti dalam jamaah adalah antara rukun persaudaraan kita. Bekerja dengan semangat saling lengkap melengkapi , beramal dalam ruh saling perlu memerlukan sesama kita , adalah nafas dan nadi sebatang tubuh yang dinamai Salimah dalam berjamaah. Pantang besar ketika jamaah diresapi penyakit berprasangka dan barah saling mencurigai. Tersangat bahaya jika saf kita diserang rasa egois dan saling mengungkit kelemahan antara kita. Paling tragis ketika niat berteguran menjadi bara dan menghidupkan api saling menyerang. Kita harus berwaspada betapa perjalanan dan perjuangan ini sangat panjang dan  sangat jauh. Harga sebuah persaudaraan jangan digadai dengan murahnya nilai sebuah persengketaan. Mulia sebuah kaseh sayang dalam berjamaah jangan terjual oleh hinanya  sebuah firqah yang diharam Allah Rabbul Jalil. Salimah yang sudah seusia ini melayari bahteranya tidak boleh dibenarkan tersasar dari hadafnya untuk mengapai Redha Allah dan tercabut layaknya mendapat naungan Allah ketika kita mengharungi badai dan ombak perjuangan.

 Kalimat persaudaraan yang menjadi ciri pertama dan watak utama Salimah jangan samasekali luntur dalam setiap bicara , dalam  setiap langkah , dalam setiap harkat dan marhalah yang sedang kita lalui. Ruh silaturrahmi yang kita pupuk selama ini jangan digugat hanya dengan khilaf yang kecil yang kita boleh saling memaafkan.

Sesungguhnya hidup Salimah adalah hidup perjuangan dan perjuangan Salimah malah terlalu mulia untuk terencat oleh kekhilafan sesama kita yang semuanya sedang saling belajar dan saling memperbaikki. Mari kita bina sosok dan kiprah sebuah Salimah yang ghairahnya hanya satu iaitu mengembalikan semula manusia kepada pangkal asalnya iaitu Pengabdian kepada Allah dan Kebaktian kepada Alam CiptaanNya . Rengkasnya kembali berKhalifah di muka bumi demi Allah dan Untuk Allah Rabbul Alamin. Lantaran itu sedarilah betapa kerja kita jauh lebih banyak dari masa yang tersisa. Kita perlu menjadi karyawan sejarah umat , melakar jalan petunjuk untuk umat , menjadi para mursyid mencerahkan perjalanan umat.

Demikian berat tangunggan kita . Namun inilah yang telah diikrar dalam sanubari umur kita yang tersisa. Salimah bukan bermula dengan sifar. Ia bukan suatu lembaran baru. Namun ia adalah suatu kesinambungan. Kita adalah pewaris dan yang juga akan mewarisi. Banyak yang telah kita warisi dari pengelaman , banyak yang kita pikul dari sejarah masa lalu . Semuanya bukan hanya untuk dikisahkan , atau dinostalgiakan . Akan tetapi buat bekalan untuk langkah kita seterusnya , bakal disambung pula oleh generasi peninggalan kita nanti.

Lantaran itu mari kita sambut kata-kata pujangga Buya Hamka dikala bermadah kepada sahabatnya Muhammad Natsir “ Hidup dan mati bersama-sama , untuk menuntut Ridha illahi , Dan aku pun masukkan dalam daftarmu...”. Buya Hamka tidak mahu tidak tersenarai dalam rantai pejuang kebenaran. Pesan saya ini sangat sederhana namun sarat dengan kata-kata berat untuk dijunjung.Salimah perlu ditatang dengan cermat dan dibesarkan dengan pengorbanan. Jangan ada yang tercicir oleh mehnah hanya oleh hati yang mudah melayan jiwa-jiwa kerdil , yang terlalu lemah dikalahkan oleh kata-kata yang menguris qalbu. Ingat betapa insan Abdullah bernama Muhammad yang mengharungi fitnah dan mehnah sebesar cakerawala , tidak tergoyah oleh sindiran dan tohmahan, tidak terluntur oleh herdikan dan cemohan , tidak digeruni oleh ugutan dan ancaman , tidak termakan oleh habuan dan suapan. Ujian kita maseh terlalu kecil untuk diungkit . Maseh terlalu remeh untuk diperkisahkan. Salimah harus cepat matang dan tidak boleh bertateh lagi. Salimah harus sahut cabaran memenuhi vakum membangun Muslimah dengan ilmu dan dengan darah. Umat memerlukan qiyadah Muslimah seunggul Khadijah , setulus dan sehebat Aisyah , sepintar Fatimah.

Program kerja Salimah adalah Membangun Sahsiah Menyebar Da’wah , Mengembleng Ummah.Salimah perlu menjadi cerowong penyuara al haq dan penyanggah al batil. Suara Salimah harus didengari dipersada umat dan dihormati seantero bumi. Perkukuhkan kepimpinan Salimah dimedan akar umbi , perkasakan pemikiran Salimah digelanggang ilmu , mesrakan kehadhiran Salimah dihati umat marhain dan rakyat mustadhafin , sebatikan Salimah dijiwa generasi shabab penyambung perjuangan.

Selamat bermusyawwarah.


MENDIDIK RAKYAT CELIK POLITIK

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS


Mengamati jalan pikir politik rakyat sangat merunsingkan. Bukan kerana rakyat memang begitu pikirannya .Akan tetapi rakyat dikondisikan berpikir begitu. Jika rakyat dihamilkan oleh ibu yang takabur manakan tidak lahirlah rakyat yang berpikir gagap. Akibat kerap disergah bapak yang bengis maka jadi gagaplah rakyat yang digelar anak. Gagap untuk berkata yang benar . Gagap juga untuk menyanggah yang salah. 

Puncanya ? Rakyat membesar dengan asuhan naif dalam pikir politik. Atau juga memang berpikir politik yang sedia ada inilah yang bikin rakyat jadi seperti ini. Kerana tidak diajar berpolitik , tidak diajar ilmu hukum maka beginilah jadinya.

Rakyat jadi susah menilai peribadi orang yang galak meminta diberi jawatan. Sebabnya? Rakyat sendiri tidak diilmukan dengan ilmu sahsiah dan ilmu jiwa. Lalu jadi jahil sebilangan besar rakyat bila memileh pemimpin politik. Kerna yang disumbat dalam pikiran rakyat hanyalah pikiran lurus bendul. Tidak diizinkan mengerti uraian berpikir , jauh sekali filsafat dan ilmu logika. 

Memang tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa rakyat sebetulnya tidak dimaksudkan untuk mengerti itu semua. Yang pasti rakyat hanya dipersiapkan untuk jadi alat saja.

Demikianlah rakyat muda kita mendewasa. Mereka dididik untuk patuh bukan pematangan dalam berpikir. Mereka ditatang untuk menghafal bukan dilatih untuk mengurai permasalahan. Mengenai dasar keadilan di dalam pergaulan dan kelakuan manusia , mengenai kenapa manusia berpelajaran tidak sama dengan manusia berpendidikan , mengenai kemelaratan di tengah-tengah kemewahan dan pembaziran.

Itu semua tidak dianggap sebagai ilmu yang perlu dikaji dan diuji. Lalu generasi yang lahir ditengah rakyat ialah generasi bersijil , bukan generasi berpikir. Akhirnya yang diperolehi dari rakyat yang digelar graduan hanya dapatan dari segunung tesis-tesis beratusan muka surat dan kajian yang berjilid-jilid buat memenuhi syarat lulus ijazah . 

Namun kenyataan di dunia menjadi remang-remang.Gejala-gejala yang muncul lalu lalang, tidak boleh rakyat hubung-hubungkan. Sehingga rakyat jadi marah pada diri sendiri dan sebal terhadap masa depan.Lalu akhirnya, rakyat terasyik dalam menikmati masa bodoh dan hidup santai terus . 

Demikian seangkatan demi seangkatanlah lahir generasi gagap. Hanya terbiasa dengan memakai dan menerima . Tanpa boleh mengurai dan bertanya , jauh sekali menghasil keasliaan dalam berpikir. Jadilah rakyat gagap dalam bersikap , dan santai dalam berperangai. Persis hidup bak luncai dengan labu-labunya. 

Walhasil rakyat dan aktor politik hanya tahu bergelar dan berpangkat. Bergelar dan berpangkat itu pula disamakan dengan memimpin, padahal sebetulnya ia hanya baru berada diambang kuasa , bukan memimpin. Menjadi semakin kabur dan kelabu pandangan mata hati rakyat dalam berpolitik.

Jika dirujuk kepada leluhur bapak-bapak rakyat ternyata  ada satu punca besar rakyat jadi begini. Puncanya pendidikan negeri ini berkiblat ke Barat.Di sana anak-anak memang disiapkan untuk menjadi alat dari industri , perkakas bagi pemerintah.

Dalam industri mereka berjalan tanpa henti mengikut rantai sambung menyambung memenuhi target produktiviti dan dalam sistem pemerintah mereka dipersiapkan menjadi alat birokrasi!

Maka kelihatan manusia industri dan manusia birokrasi masing-masing sibuk .Yang satu mengfasilitasi kecekapan yang satu , yang satu menyokong kelancaran yang satu. Semua ini diberi kalimat hebat yang dinamai "transformasi" Sehingga tidak sedar rupanya birokrasi menjadi berlebihan , industri pula menghasil sampah bertimbunan tanpa kegunaan - menjadi benalu di dahan. Yang ini pula diberi pradikat "pertumbuhan".

Padahal "transformasi" yang diwar-warkan sebenarnya menggahkan "form" bukan isi , dan "pertumbuhan" pula menjadi "ketumbuhan" tumor yang tidak punya had merebak sel kanser yang membunuh, bukan pemerataan untuk keadilan buat mereka yang tersisih dan terpinggir.

Politik rakyat menjadi semakin gelap. Pendidikan tidak memberikan pencerahan. Latihan-latihan tidak memberi pekerjaan. Politik tidak menghasilkan pembelaan. Yang diharap memimpin akhirnya enak disinggahsana kekuasaan.

Kerana rakyat tidak pandai mentafsirkan, akhirnya lebih enak lari ke dalam ganja kebergantungan. Lalu berduyun-duyun meramaikan majlis berteriak " kita boleh ! " , menjerit " janji ditepati " disebalik keperitan perut yang maseh lapar , anak maseh terputus susu , ibubapa bekerja siang malam ketika berikhtiar menutup kaki kepala terdedah , menutup kepala kaki terbuka. Di dalam kemabukan, wajah berdarah akan terlihat sebagai bulan. Kening berkedut terlihat sebagai bintang berkelipan.

Rupanya rakyat termakan rawatan ubat "tahan sakit" yang bersifat sementara. Diminta mereka menadah tangan sementara melafazkan janji setia memenangkan mereka untuk berkuasa lagi. Tidak diketahui barah ketumbuhan itu akan menyerang kembali . Ketika itu bukan , bukan jeritan " janji ditepati " yang akan bergema lagi , akan tetapi bertukar menjadi " rakyat perlu berkorban " menjadi tag-line yang baru pula.

Apakah artinya tanda-tanda yang rumit ini? Mengapa harus rakyat terima hidup begini?

Sememangnya seseorang itu berhak diberi ijazah doktor , jika itu yang dia inginkan, lalu rakyat dan nusa menjadi  bangga. Memilikki rakyat dari yang terpelajar. Walaupun tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan. Beranikah dia berbicara bila ada tirani merajalela. Ataukah kerjanya cuma menyuntik ubat tahan sakit saja.

Demikian rakyat puas melihat berbondong-bondong mahasiswa graduan ilmu hukum bagaikan berbarisan perwira-perwira keadilan ataukah hanya menjadi saf kareris mengejar pendapatan lumayan bukan penyuara pendapat kebenaran. Mungkinkah rakyat akan dikecewakan , yang dikata perwira-perwira ini berkesudahan hanya sebagai bendera-bendera upacara, sementara hukum dikhianati berulang kali didepan mata.

Berharapkah lagi rakyat kepada mahasiswa-mahasiswa ilmu ekonomi yang berderetan bagaikan bunga plastik, kelihatan indah dari pandangan jauh tetapi hambar bila disentuh. Lantaran mereka bukan graduan dari permasalahan ekonomi rakyat akan tetapi penteoris ilmu ekonomi di kamar kuliah di gedung universiti . Padahal yang melingkari realiti ekonomi rakyat adalah kebangkrutan yang sarat dengan tabiat korupsi. Yang terhasil bajet yang berkepanjangan defisit tanpa alasan , yang terlibat ialah perbelanjaan mewah tanpa rasional.

Rakyat berada di dalam pusaran tata warna yang mengelirukan dan tak terbaca. Berlegar dalam penjara kabut yang memabukkan tanpa menemukan jalan keluar.

Tangan rakyat menggapai untuk mencari pegangan dalam kelemasan udara tercemar dan beracun. Dan bila luput, rakyat terkapai-kapai mencakar ke arah udara.

Inikah yang dikatakan rakyat menjadi  angkatan gagap yang diperanakkan oleh angkatan kurang ajar. Daya hidup telah diganti oleh nafsu. Pencerahan telah diganti oleh pembatasan. Jika rakyat terus begini , inilah angkatan rakyat yang berbahaya. Bukan sahaja untuk generasi masakini malah buat angkatan mendatang. 




RAKYAT PERLU SIAP MENCARI PEMIMPIN SEJATI

 YANG ISTIQAMAH

Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid 

TERAS Pengupayaan Melayu


" Akan tiba satu zaman atas manusia dimana perhatian mereka hanya tertuju pada urusan perut , kehormatan mereka hanya pada benda semata-mata. Kiblatnya tak jauh dari urusan seks , agamanya adalah harta dan perak . Mereka adalah makhluk Allah yang terburuk dan tidak akan memperolehi kesenangan di sisi Allah " ( HR Ad-Dailami )



Ngeri membaca Hadith ini dikala kita mengenang gerangan nasib rakyat negeri ini yang bakal membuat keputusan yang sangat penting pada PRU 13 yang sedang dihitung hari saja.


Pokoknya rakyat siap tidak siap perlu bersedia. Siap memileh sejumlah sosok pemimpin sejati dalam PRU 13 . Bersiap , tidak  hanya menerima , bersedia tidak cuma mendengar , justeru harus berani dan memberanikan. Bersedia membuat anjakan dalam politik negara . Diikuti juga bersedialah bermula menjadi rakyat penegur dan penyanggah kepada kuasa dan peneraju yang berkuasa bila menyeleweng walau sesiapapun yang akan memerintah selepas keputusan PRU 13 diumumkan nanti. 

Banyak yang rakyat boleh ambil iktibar dari perjalanan uruskelola pemerintahan dari pihak-pihak yang akan bersaing dalam PRU ke 13 ini. Sudah pasti rakyat mahu yang lebih baik jika tidak pun yang terbaik. Rakyat boleh melihat kejayaan , juga kegagalan. Boleh menilai antara slogan dan juga kenyataan . Boleh mengukur antara  komitmen sebenar dan penyelewengan yang sangat ketara. 

Rupanya banyak yang tidak disedari pemimpin dan mereka yang beria-ia teringin menjadi pemimpin. Isu perubahan menjadi tema utama. Namun isi sebenar dari maksud perubahan yang dilaungkan belum pasti dan tidak ketahui menjadi atau sebaliknya.

Pokoknya kepincangan dikalangan pemimpin juga ada yang jelas bagaikan mentari , ada yang kabur persis kabus dipagi hari. Sangat banyak yang tersembunyi tanpa  diketahui.

Kini yang sudah lama menjadi Menteri ingin terus kekal menjadi Menteri lagi. Yang sudah lama mengidam maseh terus menyimpan hajat. Yang mahu menjadi calon PRU melobi terus . Mencari celah , menjenguk peluang dan mengintai kesempatan.

Tapi banyak yang tidak bersedia menjadi insan dua Umar ( Umar Al Khattab dan Umar Abdul Aziz ) , jauh sekali meneladani insan Muhammad bila berada diteraju kuasa. Bila ditegur menjadi marah.  Karena merasa kena getah .

Padahal ia adalah hasil ulahnya sendiri akibat menaruh perhatian kepada resah rakyat hanya dengan layanan sebelah mata. Akibat tenggelam dalam keenakkan mendapat peluang menjadi wakil rakyat sehingga terjebak menyalahguna kuasa. Akibat tipisnya rasa amanah.

Natijahnya Negara makin hancur , Bangsa makin parah. Tidak dikisahkan oleh  mereka yang beraspirasi naik ke atas . Jika sudah berjaya berada diatas , awalnya kelihatan berjinak  dengan rakyat, ditengahnya

mulai berkalutan , dihujung mulai sangat perit untuk bertemu janji , menjelang pilihanraya kembali berjinak , pesta turun padang katanya. Itulah putaran politikus yang berjenama wakil rakyat , lazimnya , terkecuali yang sedikit.



Apakah tahu atau tidak , ataukah layak atau tidak . Tidak dipeduli. Walhasil rakyat terus  diperbudak oleh politikus berkepentingan sehingga yang tidak layak ditempatkan pada tempat yang bukan sepatutnya. Bukan pendidik, tapi  diberi tanggungjawab menulis buku pelajaran . Bukan ahli ekonomi , malah menerajui pengurusan kewangan Negara. Tidak tahu kerenah pertanian , dilonjak jadi Menteri Pertanian.


Sedangkan Menteri harus bertanggungjawab, tidak boleh cuma marah-marah bila Kementerian dibawah kelolaaannya ditegur kerana terkhilaf dalam dasar dan kebijakkan serta pincang dalam perlaksanaan. 

Mesti sadar bahwa memimpin itu rumit , jangan yang dipikir hanya ringgit. Saman kerana kelajuan di lebuh raya diprojekkan sebagai perniagaan, hingga hilang timbangan terhadap  kesan kepada  rakyat. Kononnya YB ini bijak berkomunikasi tapi komunikasi apa ? Komunikasi manipulasi dan berputar kata melindungi kroni?

Inilah menteri yang dipilih karena faktor politik. Harapannya hanya untuk disenangi pemimpin atasannya  dan , didokong oleh sayap parti. Tak peduli bidang yang menjadi tanggungjawabnya jungkirbalik.

Fahamkah para wakil rakyat dan yang beraspirasi untuk jadi wakil rakyat , bahawa dalam demokrasi , rakyat adalah sumber kedaulatan. Perhatikan kata-kata Rendra "Kekuasaan tanpa rakyat adalah benalu tanpa karisma , Rakyat adalah bumi , politik dan kebudayaan adalah udara , bumi tanpa udara adalah bumi tanpa kehidupan ,  udara tanpa bumi , adalah angkasa hampa belaka"

Jelas ,  wakil rakyat adalah wakil dari sumber seluruh lapisan kehidupan rakyat ; petani , kuli ,  buruh , nelayan , pekerja awam , pemandu teksi . Bukan abdi kekuasaan.

Lantaran itu rakyat perlu celik untuk keluar dari kepompong yang membuat rakyat selesa dalam keperitan , luka dalam kejenuhan , ditindas dalam kemanjaan.

Sepatutnya rakyat matang untuk menilai dan memerhati. Menilai pemimpin dan memerhati pemerintah. Rakyat yang diperbodohkan tidak harus terus dibodohkan. Rakyat yang dijadi alat jangan terus membiar diri menjadi alat sampai bila-bila. Kuasa pemerintah boleh beraleh tangan. Tapi rakyat perlu faham , daulat pemerintah bermuarakan daulat rakyat.

Rakyat sudah terlalu lama berada dalam sel yang gelap dan kamar yang samar . Sel itu adalah sel pemikiran yang membeku dan sel sikap  yang mempertahan status quo. Lantaran terlalu lama disumbat dalam sel beku itu rakyat menjadi terkucil dan terkunci , sehingga tidak ramai yang jelas perubahan apa yang sebenarnya yang dimahukan. Ramai yang tidak tahu banyak ketidakadilan berlaku dan penyelewengan yang bermain dibelakang pentas pentadbiran  melibatkan penyalahgunaan khazanah Negara .

Akibat ketidaktahuan ini maka jadilah rakyat kehilangan wibawa dan upaya untuk membuat keputusan. Terpingalah rakyat membuat pilihan . Tergadailah kedaulatan rakyat. Di setiap waktu rakyat disumbat dengan ragam isu yang jenuh untuk dihadam oleh rakyat. Hampir nampak jelas kebobrokan negeri ditadbir dengan tipuhelah.  Akan tetapi maseh nampak tanda rakyat  terkurung dalam lingkaran dan dirantai ke batang karang.

Namun bukan tidak ada langsung yang celik dan yang sedar. Sudah sedemikian lama menjadi kuda tunggangan mereka yang bercita-cita . Rakyat yang tidak pandai menilai itu pun , ada yang sudah mendendam. Bagaikan ular sawa yang dulu terlena kekenyangan. Kini mula bergerak melengkar dan menjulur , menghembus nafas marah dek dipijak-pijak , lantaran sudah mula digigit kelaparan , mula sedar hidup rakyat diperkotak-katikkan.

Malangnya bila ada segelintir  suara rakyat yang menjerit "berubahlah !" , segera pihak yang berkuasa mengecam dengan mengatakan ini suara pembangkang. Lalu dihamun , dikutuk , disalahkan dan diputar beritanya menjadikan  suara rakyat yang tulin dipekakkan tanpa pengadilan. Padahal yang dituntut rakyat  hanyalah mahu penguasa jangan terus menyeleweng. Bukan hasutan pembangkang. Bukan intimidasi politik . Hanya gelora nurani rakyat yang tidak lagi mahu membendung kemarahan.

Bagi rakyat yang maseh terpinggir dan tertindas , secebis kesedaran menuntut hak bagaikan mentari dan sekelumit kesabaran yang cuba disimpan dalam benak persis bumi untuk menumpang manakala setitis keberanian menegur pemerintah menjadi gunung berat untuk dipikul.

Memang segelintir rakyat faham betapa perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.mengangkat tema-tema perlawanan terhadap kemiskinan dalam bentuk protes dan penyuaraan dan mencabar di mahkamah pengadilan dan perlawanan terhadap kezaliman dan kemewahan dan penyelewengan .

Akan tetapi ini belum membolehkan rakyat mengecapi perubahan yang sebenar untuk diterjemahkan. 

Kalau dihubungkan dengan realiti kehidupan saat ini , keadilan di Negara ini masih lemah. Perjalanan Malaysia menuju keadilan maseh jauh.  Tapi nyatanya sekarang Negara malah berada dipersimpangan. Berjalan ditepi gaung nyaris menunggu saat tergelincir. Politikus yang menjadi jaguh korupsi sampai menghabiskan jutaan wang rakyat maseh terlindung dari didakwa. 


Birokrat yang lebih banyak berpolitik dari mentadbir , lebih tertumpu merebut tangga gaji dari menguruskan amanah rakyat. Ahli agama yang terjerat dengan mengejar pendapatan lebih dari mengeluarkan pendapat yang jujur untuk masyarakat. Teknokrat yang hanya bergelumang dengan perlumbaan menyaingi kecanggihan peralatan moden lebih dari memikirkan keutamaan menguruskan manusia.

Sungguh nahas negara ini , yang di harapkan generasi muda yang harus boleh mengubah dari yang buruk menjadi lebih baik, tidak kesampaian , jauh sekali dari melanjutkan perjuangan para pahlawan yang telah gugur membela Negara  ini . Generasi muda semakin kecewa dan malah bebal.
Jika ini menjadi fenomena , maka tidak boleh diharapkan rakyat 28 juta  negara ini dapat ang lebih baik selepas PRU 13 nanti. Apa yang mengkhuatirkan ialah bila rakyat mengambil sikap tidak acuh dalam memperjuangkan keadilan untuk tanah air ini. Tidak mahu terlibat dalam membawa keadilan yang dituntut.

Rakyat negeri ini bak bernafas dalam lumpur . Tercungap-cungap mengelupur mencari udara. Sementara politik mafia menebalkan lagi lumpur itu. Tikus-tikus politik berkeliaran di segala lubang. Muncul mengganas bagaikan mafia diupah untuk merosakkan , mengugut , malah sedia membunuh. Maka berbenturanlah dalam medan politik yang sepatutnya beradab , kini sudah menjadi sangat menjijikkan .



Maka rakyat perlu siap. Jangan mengeluh lagi , jika sesudah usia 55 tahun kita  menyahkan penjajah kemudian maseh gagal menjadi rakyat yang matang dalam memileh pemimpin , maseh menjadi rakyat yang menerima sosok pemimpin yang hanya pandai berpidato namun tidak mahir mengurus ,  rakyat yang cerdiknya hanya pada takah menagih bantuan dari wakil rakyat sehingga sanggup menjadi budak dan dadu yang dilempar untuk mengharap nasib ditentukan oleh orang lain , maka jangan diharap kegelapan akan bertukar menjadi terang , jangan diimpikan daulat politik kuasa akan diganti menjadi daulat rakyat.

Terserah sekarang kepada rakyat yang akan membuat pilihan. Jika gagal membuat keputusan yang tepat , akan petakalah bumi bertuah ini. Jika tidak menjernihkan pemilihan mengangkat sosok pemimpin yang tepat akan muramlah masa depan anak cucu negeri ini.

Moga terhindarlah rakyat menjelma menjadi manusia seperti yang diungkap oleh Rasulullah s.a.w itu. Wana'uzubillah.

Wassalam


TERAS KESAL ISU AMANAT HADI DIMANIPULASI UNTUK KEPENTINGAN POLITIK



TERAS kesal kenapa isu Amanat Hadi kini mengambil tempat sentral dalam perbahasan politik negara. Amanat Hadi yang sebenarnya secara asas tidak mempunyai elemen yang secara terang-terangan bercanggah dengan hukum Islam , hanya menjadi isu apabila penguasa merasa ia terkait dengan faham sekular yang dianuti oleh parti tersebut dan Amanat itu secara langsung mencabar fahaman sekular yang ditolak oleh Islam. 


Malangnya isu ini dikitar semula dengan harapan ia  dapat meraih sokongan dari pengundi Melayu untuk PRU 13 nanti ,  bukan kerana ingin menilai Amanat itu dari segi ilmu.

Lebih pelik lagi kini kelihatan pendapat pemimpin dikalangan pemerintah sendiri jelas saling bercanggah antara mereka. Ada yang mahu diberi peluang dijelaskan dalam media awam , ada yang mahu Presiden Pas itu dipaksa menjelaskan atau ditahan , ada yang mengatakan berbahaya diberi peluang disiar secara langsung , ada mahu didebatkan secara terbuka.

Hanya untuk memutuskan bagaimana memberi peluang untuk Presiden Pas itu menjelaskannya melalui media , sudah terdapat kecelaruan berfikir sesama pemimpin pemerintah.

Padahal yang awalnya , dikatakan Presiden Pas itu harus memberi penjelasan , kini beraleh kepada soal syarat yang akan dikenakan jika kerajaan membenarkan penjelasan beliau disiarkan secara langsung di RTM . 

Tambah lagi kami juga kesal kenapa isu ini beraleh lagi kini kepada Amanat Hadi itu dituntut ditarik balik atau dimansuhkan oleh beliau sendiri. 

Sedangkan ketika isu ini timbul pada tahun 1981 , sememangnya perdebatan antara Pas dan Umno dituntut oleh Pas sendiri , tetapi ditolak oleh Umno.

Lantaran itu kami mendapati debat yang berlarutan mengenai semada beliau akan dibenar menjelaskan Amanat ini dalam media awam milik rakyat itu atau tidak , bukanlah isu pokok.  Isunya ialah apakah faham yang tertera dalam Amanat itu salah atau tidak. Inilah yang hendak diperjelaskan. 

Perbedaan pendapat mengenai pegangan politik yang berkait dengan sesuatu faham politik dari segi cara pemerintahan tidak salah . Terpulang kepada rakyat memileh gagasan yang terbaik untuk dipileh memerintah negara. 

Apa yang menjadi masalah ialah bila ujud faham bahawa politik tidak mahu dipandukan oleh agama.  Malah ada faham yang menolak politik dicampurkan dengan agama.

Sudah tentu bila pegangan politik menghalalkan faham sekular dan menolak Hukum Islam dalam pemerintahan ada sebab  organisasi seperti Pas melakukan perjuangan politik untuk mengambil aleh kuasa. 

Lagi keras penentangan ditunjukkan kepada tuntutan melaksanakan Islam lagi keras seruan perjuangan jihad dikumandangkan . Semakin ganas diperlakukan ke atas mereka yang memperjuangkan tuntutan Islam dengan cara mengguna undang- undang peninggalan penjajah untuk menyerang , menangkap , menzalimi dan mengfitnah ,  lagi keras keazaman untuk menjelaskan kenapa pengikut harus tegas menyatakan pendirian menentang pemerintah .

Ditambah lagi bila semakin jelas hukum Islam dibiarkan dihina dan diserang , penentang syariat dilindungi dan media perdana menyuburkan penistaan terhadap Islam oleh mereka yang bukan sahaja penganut Islam malah oleh yang mendakwa diri Islam tetapi menolak syariat Islam , semakin nekad sikap menentang penguasa dipertegaskan.

Sebab itu kami menegaskan isu Amanat ini bukan sahaja tidak wajar didebatkan seperti yang dilakukan oleh mereka yang ghairah mempertahankan kuasa , malah ia sepatutnya dilihat sebagai pemisah antara faham sekular dan faham Islam . Soal bagaimana politik harus kembali ditundukkan kepada agama adalah isu yang lebih asasi untuk diketengahkan.

Kini yang perlu ditentukan ialah bagaimana kefahaman yang salah mengenai politik dan agama perlu diperbetulkan. Menolak agama sebagai pemandu politik adalah punca kemungkaran dalam pemerintahan . Memisahkan agama dari politik adalah punca umat berpecah secara politik kepartian.

Kami menuntut agar isu ini tidak dipanjangkan lagi. Jika kesediaan memberi penjelasan terhadap isu Amanat ini mahu diberi oleh Presiden Pas Itu , maka hendaklah ia disambut dengan positif. Tidak perlu dikenakan syarat . Dengan itu diharapkan isu ini tidak akan menajamkan lagi persengketaan antara umat.



Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS


TERAS TOLAK WARISAN MERDEKA



Dari awal sejak cadangan Warisan Merdeka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seti Najib Tun Razak dalam pembentangan  bajet 2012 , TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) telah menyatakan pendidiran membantah dan menolak projek tersebut.


Projek ini bukan sahaja akan menghapuskan tapak yang sangat bersejarah kepada negara sebagai lambang khazanah rakyat yang sangat berharga malah ia adalah juga suatu simbol kebanggaaan negara yang mempunyai wajah sejarah yang sangat unggul.

Warisan Merdeka yang sangat berciri kapitalis yang dicadang akan menegakkan monumen setinggi 118 tingkat tidak mungkin dapat menyamai lambang sejarah dua stadium yang tertua negara iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka yang bakal terjejas jika projek Wairsan Merdeka ini diteruskan.

Projek ini tidak lain dari hanya melambangkan ciri penguasaan konglomerat  pemodal besar di bandar Raya Kuala Lumpur yang megah dengan bangunan mega besar dan mencakar langit , jelas yang tidak mempunyai sebarang relevan kepada kebanyakan rakyat di negara ini semada dari sudut ekonomi mahupun sosio-budaya.

Kami persoalkan sejauhmana projek Warisan Merdeka yang dijangka menelan belanja rm 5 bilion ini dapat bermanfaat kepada rakyat terbanyak. Bukan sahaja ia akan lebih memihak kepada peniaga besar , malah ia akan melenyapkan warisan penting kota Kuala Lumpur yang penting dihargai oleh generasi mendatang.

Kami melihat projek ini tidak lain dari hanya satu lagi projek kapitalis kroni yang mencari peluang untuk membolot harta negara atas nama kononnya bernuansa sejarah iaitu dengan nama Warisan Merdeka. 

Pada hakikatnya ia hanyalah satu lagi projek yang akan menyamai projek Menara Berkembar Petronas yang kini sudah tidak mempunyai lot bumiputra lagi kerana tidak ada usahawan bumiputra yang mampu menyewa ruang niaga kompleks mewah itu.

Kami tidak nampak sebarang relevan dari segi ekonomi rakyat terbanyak mahupun kesan sosial yang positif jika projek ini diteruskan. Ia akan lebih menjadi kompleks mewah yang akan menyisihkan peniaga kecil dan sederhana.

Seperti biasa maklumbalas awam tidak pernah dijadi rujukan dan pendekatan kerajaan untuk meneruskan projek mega seperti ini. Inilah amalan yang nampaknya kekal pada kerajaan yang sedia ada. Keputusan dibuat dengan pemaju projek dan kerajaan akan menggunakan pengaruh dan kuasa politik untuk mengenepikan suara rakyat.

Sepatutnya rakyat berhak menyuarakan pendapat dan membantah projek yang menjejaskan warisan milik rakyat . Manakala pihak kerajaan tidak sepatutnya menjadi wakil kepada pemaju bila berhadapan dengan bantahan rakyat.

Jika ini dilakukan oleh kerajaan iaitu memihak kepda pemaju projek maka sebenarnya kerajaan sebenarnya mengamalakan pendekatan kaedah " korporat diutamakan dan rakyat diketepikan". 

TERAS turut memandang serius terhadap ketidaktelusan pihak kerajaan dan DBKL yang sehingga ini tidak mendedahkan apakah status projek ini .Datuk Bandar KL seharusnya mengambil perhatian serius pandangan rakyat kota sebagai pihak berkepentingan yang sangat signifikan dan mempunyai locus standi untuk diberi perhatian. 

Keputusan dari atas ke bawah yang dipengaruh oleh orang politik adalah tidak wajar dipertahankan ketika memutuskan untuk melaksanakan projek ini kerana rakyat adalah "stakeholder" terpenting dalam mempertahankan status tapak warisan negara ini.

TERAS mendesak projek ini tidak diteruskan dan  kawasan disekitar Stadium Negara dan Stadium Merdeka diwartakan sebagai warisan negara.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS 















Bottom of Form