PERUTUSAN
SALIMAH BERTEKAD TAHUN 2013 SEBAGAI TAHUN MERUBAH BUDAYA HIDUP MASYARAKAT
SALIMAH
mengharapkan kedatangan 2013 merupakan tahun yang akan membawa anjakan besar
dalam budaya hidup masyarakat.
Sepanjang tahun 2012 tidak sedikit peristiwa kerosakan sosial dilakar oleh budaya hidup masyarakat yang sangat rapuh dari segi nilai hidup Islam. Gambaran krisis nilai juga dapat di kesan merentas kaum dan agama sepanjang tahun tersebut.
Walaupun dikatakan kadar jenayah masyarakat menurun namun ia tetap menunjukkan
Negara menuju kepada kerapuhan sosial bila anggota polis terpaksa di tambah untuk
menjaga sekuriti penduduk diseluruh Negara.
Tidak sedikit juga konflik sosial sering diketengahkan sehingga mengambarkan
jika perubahan nilai hidup tidak dipulih , negara akan berhadapan dengan
situasi yang gelap untuk tahun 2013. Kesangsian sosial antara kaum sedikit
sebanyak menunjukkan perhubungan antara kaum boleh tergugat jika masyarakat
hidup tidak berasaskan kekuatan saling menghormati antara agama .
Budaya hidup masyarakat dikalangan anak muda juga sangat mengkhuatirkan .
Fenomena generasi muda maseh ramai yang terheret dengan gejala kerosakan akhlaq
tidak menjamin keadaan akan menjadi bertambah baik.
SALIMAH merumuskan pokok persoalan yang utama dalam mencorak hidup masyarakat
ialah memperkukuhkan kerukunan sosio-budaya . Manakala sosio-budaya masyarakat
dibentuk oleh pegangan hidup agama yang mengatasi segala ukuran material.
Malangnya seperti tahun sebelum , 2012 maseh diwarnai oleh gejala sosio-budaya
yang rapuh dan sangat tercemar. Pengaruh luar yang sarat dengan nilai hidup
berpoya dan tidak berpegang kepada nilai agama telah mengakibatkan masyarakat
hanyut dengan gaya hidup hedonistik.
Oleh itu pelbagai konflik masyarakat yang berlaku akhirnya dapat dirumuskan berpunca dari kerapuhan nilai hidup . Rakyat Malaysia kini jelas sangat terpengaruh dengan budaya hidup ala Barat yang berasaskan falsafah hidup kebendaan yang tidak terkawal. Tanda bahawa gaya hidup liberal dan sekular Barat telah mewarnai hidup masyarakat dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan .
Nyata kegiatan seperti hiburan melampau batas , budaya popular yang ditonjol
dalam media , budaya hidup elitis dan bermewahan , dan gaya hidup generasi muda
yang banyak dipengaruhi oleh nilai asing , kini berleluasa. Malangnya
pengaruh dari luar ini semakin mendalam dan meluas.
Dengan yang demikian masyarakat mudah terheret ke dalam pelbagai kemelut yang tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk menyelesaikan krisis yang timbul.
SALIMAH mengharapkan tahun 2013 boleh menjadi tahun yang akan dirangsang oleh
semangat untuk kembali kepada nilai hidup yang lebih murni. Kami berazam untuk
menyumbang kepada masyarakat dalam rangka untuk membina negara ini
berteraskan nilai hidup yang berteraskan Ketuhanan.
Sementara itu SALIMAH menegaskan masyarakat Islam sepatutnya menunjukkan
keiltizaman yang lebih kukuh untuk kembali kepada nilai hidup berasaskan
ketaqwaan dan keimanan yang mendalam. Tahun 2013 hanya sebagai pernyataan azam
bukanlah suatu kalender yang tepat untuk diikuti kaum Muslimin. Namun jika ia
maseh mahu dijadi ukuran waktu untuk merencana perubahan dan takwin aktiviti ,
maka SALIMAH mengharap biarlah ia berasaskan keiltizaman untuk menghayati
amalan hidup Islam yang menyeluruh.
SALIMAH berazam untuk menyemarakan kefahaman dan penghayatan hIdup Islam dalam
masyarakat dalam seluruh aspek kehidupan. Kami menegaskan bahawa hanya dengan
kembali kepada Islam secara menyeluruh maka kemuliaan umat Islam akan dapat
dipulih.
SALIMAH juga menegaskan peranan para ilmuan , ulama dan
umara adalah sangat krusial jika pembinaan masyarakat hendak dibangunkan sesuai
dengan maqasid syariah yang ditetapkan Islam. Dengan panduan para ulama yang
ikhlas dan tegas , umara yang amanah serta ilmuan yang memegang janji setia
kepada amanah ilmu , masyarakat akan terjamin selamat dari kerosakan. Jika
sebaliknya para ulama terperangkap dengan habuan keduniaan , manakala umara
pula mengkhianati amanah rakyat dan para ilmuan terheret hanya mementingkan
kesenangan dalam kerjaya masing-masing, maka masa depan seluruh masyarakat akan
gelap.
SALIMAH merumuskan keiltizamannya untuk menjadi kenderaan mengembleng masyarakat agar membangunkan masyarakat dan negara yang kuat berpegang kepada prinsip Islam .
Tahun 2013 sepatutnya menjadi tahun anjakan dan tahun melonjakkan perubahan
untuk mengarusperdanakan budaya hidup Islam , bermula dengan keiltizaman untuk
menyanggah segala kemungkaran dan penyelewengan melalui gerakerja nahi mungkar.
Serentak dengan itu mengukuhkan gerakerja membina melalui program menyuburkan
al bir dan amar ma'ruf.
SELAMAT TAHUN BARU.
Datin Ustazah Aminah Zakariah
Yang DiPertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH)
Dari Cikgu Azmi
13 Disember 2012
Datin Ustazah Aminah yang dimuliakan dan seluruh saf kepimpinan Salimah Pusat dan Negeri yang disanjungi.
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh
Dengan
nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan salam untuk
junjungan Rasulullah s.a.w , seluruh ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Dalam saat menahan sedikit
kesakitan , saya menyusun jari jemari yang sedikit lemah , memohon maaf
kerana keuzuran yang tidak memungkinkan saya hadhir di mesyuarat Salimah
walaupun sudah ditunda ke tarikh yang saya
sendiri cadangkan. Allah jua yang lebih mengetahui hikmah disebalik keuzuran
yang saya lalui ini. Namun saya tetap merasa terpanggil untuk mengagahkan diri menukilkan serangkap
kalimat , serangkai ayat , menyampaikan pesan dan kesan kepada kepimpinan Salimah sekalian.
Tidak mudah membangun dan mengasuh sebuah
gerakan atas nama ummah apatah lagi beriftitahkan ‘aqad kepada Rabbul Jalil ,
pengamat sekali janji , penuntut segala syahadah. Kita bersama semata mata atas
kesadaran yang murni memulakan langkah berjanji setia dan bermuafakat sekata . Salimah adalah wadah yang
kita asuh dan tatang dengan niat satu-satunya.Iaitu ingin menyumbang kepada
umat , berbakti kepada manusia dan mengabdi kepada Allah. Tiada lain dari hanya
itu. Jika terlintas ada niat yang lain maka segeralah mengadap kepada Illahi
memohon keampunan agar amal yang sedikit ini , khairat yang secebis ini tidak
gugur disisi Allah. Kerana ini sahaja
yang terdaya oleh kita yang sangat kerdil ini . Bagaikan setitis air dalam
kelautan KasehNya. Layakkah kita menagih Redha Allah jika yang kita
ghairahkan hanya untuk menempa pujian manusia dan mendapat sanjungan seisi
dunia .
Saya amat teruja dengan
kalimat “persaudaraan” yang terpahat kepada Salimah. Sederhana amat kata-kata
itu . Terlalu kebiasaan pada sebutannya. Akan tetapi saya sedar bahawa ia
rengan pada bibir namun amat berat pada tanggungan.
Masakan tidak. Salimah tidak berdiri hanya
kerana mahu hadhir. Tidak seharusnya Salimah tertegak hanya untuk menambah
hitungan . Persaudaraan yang tertambat pada nama Salimah punya konsekuen yang
besar dan berat. Ia bermula pada diri setiap kepimpinan Salimah. Pertautan
kaseh , jalinan kemesraan , saling
bertasamuh dan tetap sokong menyokong saat beraktiviti dalam jamaah adalah antara
rukun persaudaraan kita. Bekerja dengan semangat saling lengkap melengkapi ,
beramal dalam ruh saling perlu memerlukan sesama kita , adalah nafas dan nadi
sebatang tubuh yang dinamai Salimah dalam berjamaah. Pantang besar ketika
jamaah diresapi penyakit berprasangka dan barah saling mencurigai. Tersangat
bahaya jika saf kita diserang rasa egois dan saling mengungkit kelemahan antara
kita. Paling tragis ketika niat berteguran menjadi bara dan menghidupkan api saling
menyerang. Kita harus berwaspada betapa perjalanan dan perjuangan ini sangat
panjang dan sangat jauh. Harga sebuah
persaudaraan jangan digadai dengan murahnya nilai sebuah persengketaan. Mulia
sebuah kaseh sayang dalam berjamaah jangan terjual oleh hinanya sebuah firqah
yang diharam Allah Rabbul Jalil. Salimah yang sudah seusia ini melayari
bahteranya tidak boleh dibenarkan tersasar dari hadafnya untuk mengapai Redha
Allah dan tercabut layaknya mendapat naungan Allah ketika kita mengharungi
badai dan ombak perjuangan.
Kalimat persaudaraan yang menjadi ciri pertama dan watak utama Salimah
jangan samasekali luntur dalam setiap bicara , dalam setiap langkah , dalam setiap harkat dan
marhalah yang sedang kita lalui. Ruh silaturrahmi yang kita pupuk selama ini
jangan digugat hanya dengan khilaf yang kecil yang kita boleh saling memaafkan.
Sesungguhnya hidup Salimah
adalah hidup perjuangan dan perjuangan Salimah malah terlalu mulia untuk
terencat oleh kekhilafan sesama kita yang semuanya sedang saling belajar dan
saling memperbaikki. Mari kita
bina sosok dan kiprah sebuah Salimah yang ghairahnya hanya satu iaitu mengembalikan semula
manusia kepada pangkal asalnya iaitu Pengabdian kepada Allah dan Kebaktian
kepada Alam CiptaanNya . Rengkasnya kembali berKhalifah di muka bumi demi Allah
dan Untuk Allah Rabbul Alamin. Lantaran itu sedarilah betapa kerja kita jauh
lebih banyak dari masa yang tersisa. Kita perlu menjadi karyawan sejarah umat ,
melakar jalan petunjuk untuk umat , menjadi para mursyid mencerahkan perjalanan
umat.
Demikian berat tangunggan
kita . Namun inilah yang telah diikrar dalam sanubari umur kita yang tersisa.
Salimah bukan bermula dengan sifar. Ia bukan suatu lembaran baru. Namun ia
adalah suatu kesinambungan. Kita adalah pewaris dan yang juga akan mewarisi.
Banyak yang telah kita warisi dari pengelaman , banyak yang kita pikul dari
sejarah masa lalu . Semuanya bukan hanya untuk dikisahkan , atau dinostalgiakan
. Akan tetapi buat bekalan untuk langkah kita seterusnya , bakal disambung pula
oleh generasi peninggalan kita nanti.
Lantaran itu mari kita sambut kata-kata
pujangga Buya Hamka dikala bermadah kepada sahabatnya Muhammad Natsir “ Hidup
dan mati bersama-sama , untuk menuntut Ridha illahi , Dan aku pun masukkan
dalam daftarmu...”. Buya Hamka tidak mahu tidak tersenarai dalam rantai pejuang
kebenaran. Pesan saya ini sangat sederhana namun sarat dengan kata-kata berat
untuk dijunjung.Salimah perlu ditatang dengan cermat dan dibesarkan dengan
pengorbanan. Jangan ada yang tercicir oleh mehnah hanya oleh hati yang mudah
melayan jiwa-jiwa kerdil , yang terlalu lemah dikalahkan oleh kata-kata yang
menguris qalbu. Ingat betapa insan Abdullah bernama Muhammad yang mengharungi
fitnah dan mehnah sebesar cakerawala , tidak tergoyah oleh sindiran dan
tohmahan, tidak terluntur oleh herdikan dan cemohan , tidak digeruni oleh
ugutan dan ancaman , tidak termakan oleh habuan dan suapan. Ujian kita maseh
terlalu kecil untuk diungkit . Maseh terlalu remeh untuk diperkisahkan. Salimah
harus cepat matang dan tidak boleh bertateh lagi. Salimah harus sahut cabaran
memenuhi vakum membangun Muslimah dengan ilmu dan dengan darah. Umat memerlukan
qiyadah Muslimah seunggul Khadijah , setulus dan sehebat Aisyah , sepintar
Fatimah.
Program kerja Salimah
adalah Membangun Sahsiah Menyebar Da’wah , Mengembleng Ummah.Salimah perlu menjadi
cerowong penyuara al haq dan penyanggah al batil. Suara Salimah harus didengari dipersada umat
dan dihormati seantero bumi. Perkukuhkan kepimpinan Salimah dimedan akar umbi ,
perkasakan pemikiran Salimah digelanggang ilmu , mesrakan kehadhiran Salimah
dihati umat marhain dan rakyat mustadhafin , sebatikan Salimah dijiwa generasi
shabab penyambung perjuangan.
Selamat
bermusyawwarah.
MENDIDIK RAKYAT CELIK POLITIK
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
Mengamati jalan pikir politik rakyat sangat merunsingkan. Bukan kerana rakyat
memang begitu pikirannya .Akan tetapi rakyat dikondisikan berpikir begitu. Jika
rakyat dihamilkan oleh ibu yang takabur manakan tidak lahirlah rakyat yang
berpikir gagap. Akibat kerap disergah bapak yang bengis maka jadi gagaplah
rakyat yang digelar anak. Gagap untuk berkata yang benar . Gagap juga untuk
menyanggah yang salah.
Puncanya ? Rakyat membesar dengan asuhan naif dalam pikir politik. Atau juga
memang berpikir politik yang sedia ada inilah yang bikin rakyat jadi seperti
ini. Kerana tidak diajar berpolitik , tidak diajar ilmu hukum maka beginilah
jadinya.
Rakyat jadi susah menilai peribadi orang yang galak meminta diberi jawatan.
Sebabnya? Rakyat sendiri tidak diilmukan dengan ilmu sahsiah dan ilmu jiwa.
Lalu jadi jahil sebilangan besar rakyat bila memileh pemimpin politik. Kerna
yang disumbat dalam pikiran rakyat hanyalah pikiran lurus bendul. Tidak
diizinkan mengerti uraian berpikir , jauh sekali filsafat dan ilmu logika.
Memang tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa rakyat sebetulnya tidak
dimaksudkan untuk mengerti itu semua. Yang pasti rakyat hanya dipersiapkan
untuk jadi alat saja.
Demikianlah rakyat muda kita mendewasa. Mereka dididik untuk patuh bukan
pematangan dalam berpikir. Mereka ditatang untuk menghafal bukan dilatih untuk
mengurai permasalahan. Mengenai dasar keadilan di dalam pergaulan dan kelakuan
manusia , mengenai kenapa manusia berpelajaran tidak sama dengan manusia
berpendidikan , mengenai kemelaratan di tengah-tengah kemewahan dan pembaziran.
Itu semua tidak dianggap sebagai ilmu yang perlu dikaji dan diuji. Lalu
generasi yang lahir ditengah rakyat ialah generasi bersijil , bukan generasi
berpikir. Akhirnya yang diperolehi dari rakyat yang digelar graduan hanya
dapatan dari segunung tesis-tesis beratusan muka surat dan kajian yang
berjilid-jilid buat memenuhi syarat lulus ijazah .
Namun kenyataan di dunia menjadi remang-remang.Gejala-gejala yang muncul lalu
lalang, tidak boleh rakyat hubung-hubungkan. Sehingga rakyat jadi marah pada
diri sendiri dan sebal terhadap masa depan.Lalu akhirnya, rakyat terasyik dalam
menikmati masa bodoh dan hidup santai terus .
Demikian seangkatan demi seangkatanlah lahir generasi gagap. Hanya terbiasa
dengan memakai dan menerima . Tanpa boleh mengurai dan bertanya , jauh sekali
menghasil keasliaan dalam berpikir. Jadilah rakyat gagap dalam bersikap , dan
santai dalam berperangai. Persis hidup bak luncai dengan labu-labunya.
Walhasil rakyat dan aktor politik hanya tahu bergelar dan berpangkat. Bergelar
dan berpangkat itu pula disamakan dengan memimpin, padahal sebetulnya ia hanya
baru berada diambang kuasa , bukan memimpin. Menjadi semakin kabur dan kelabu
pandangan mata hati rakyat dalam berpolitik.
Jika dirujuk kepada leluhur bapak-bapak rakyat ternyata ada satu punca
besar rakyat jadi begini. Puncanya pendidikan negeri ini berkiblat ke Barat.Di
sana anak-anak memang disiapkan untuk menjadi alat dari industri , perkakas
bagi pemerintah.
Dalam industri mereka berjalan tanpa henti mengikut rantai sambung menyambung
memenuhi target produktiviti dan dalam sistem pemerintah mereka dipersiapkan
menjadi alat birokrasi!
Maka kelihatan manusia industri dan manusia birokrasi masing-masing sibuk .Yang
satu mengfasilitasi kecekapan yang satu , yang satu menyokong kelancaran yang
satu. Semua ini diberi kalimat hebat yang dinamai "transformasi"
Sehingga tidak sedar rupanya birokrasi menjadi berlebihan , industri pula
menghasil sampah bertimbunan tanpa kegunaan - menjadi benalu di dahan. Yang ini
pula diberi pradikat "pertumbuhan".
Padahal "transformasi" yang diwar-warkan sebenarnya menggahkan
"form" bukan isi , dan "pertumbuhan" pula menjadi
"ketumbuhan" tumor yang tidak punya had merebak sel kanser yang
membunuh, bukan pemerataan untuk keadilan buat mereka yang tersisih dan
terpinggir.
Politik rakyat menjadi semakin gelap. Pendidikan tidak memberikan pencerahan.
Latihan-latihan tidak memberi pekerjaan. Politik tidak menghasilkan pembelaan.
Yang diharap memimpin akhirnya enak disinggahsana kekuasaan.
Kerana rakyat tidak pandai mentafsirkan, akhirnya lebih enak lari ke dalam ganja kebergantungan. Lalu berduyun-duyun meramaikan majlis berteriak " kita boleh ! " , menjerit " janji ditepati " disebalik keperitan perut yang maseh lapar , anak maseh terputus susu , ibubapa bekerja siang malam ketika berikhtiar menutup kaki kepala terdedah , menutup kepala kaki terbuka. Di dalam kemabukan, wajah berdarah akan terlihat sebagai bulan. Kening berkedut terlihat sebagai bintang berkelipan.
Rupanya rakyat termakan rawatan ubat "tahan sakit" yang bersifat sementara. Diminta mereka menadah tangan sementara melafazkan janji setia memenangkan mereka untuk berkuasa lagi. Tidak diketahui barah ketumbuhan itu akan menyerang kembali . Ketika itu bukan , bukan jeritan " janji ditepati " yang akan bergema lagi , akan tetapi bertukar menjadi " rakyat perlu berkorban " menjadi tag-line yang baru pula.
Apakah artinya tanda-tanda yang rumit ini? Mengapa harus rakyat terima hidup begini?
Sememangnya seseorang itu berhak diberi ijazah doktor , jika itu yang dia
inginkan, lalu rakyat dan nusa menjadi bangga. Memilikki rakyat dari yang
terpelajar. Walaupun tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan. Beranikah dia
berbicara bila ada tirani merajalela. Ataukah kerjanya cuma menyuntik ubat
tahan sakit saja.
Demikian rakyat puas melihat berbondong-bondong mahasiswa graduan ilmu hukum bagaikan berbarisan perwira-perwira keadilan ataukah hanya menjadi saf kareris mengejar pendapatan lumayan bukan penyuara pendapat kebenaran. Mungkinkah rakyat akan dikecewakan , yang dikata perwira-perwira ini berkesudahan hanya sebagai bendera-bendera upacara, sementara hukum dikhianati berulang kali didepan mata.
Berharapkah lagi rakyat kepada mahasiswa-mahasiswa ilmu ekonomi yang berderetan bagaikan bunga plastik, kelihatan indah dari pandangan jauh tetapi hambar bila disentuh. Lantaran mereka bukan graduan dari permasalahan ekonomi rakyat akan tetapi penteoris ilmu ekonomi di kamar kuliah di gedung universiti . Padahal yang melingkari realiti ekonomi rakyat adalah kebangkrutan yang sarat dengan tabiat korupsi. Yang terhasil bajet yang berkepanjangan defisit tanpa alasan , yang terlibat ialah perbelanjaan mewah tanpa rasional.
Rakyat berada di dalam pusaran tata warna yang mengelirukan dan tak terbaca. Berlegar dalam penjara kabut yang memabukkan tanpa menemukan jalan keluar.
Tangan rakyat menggapai untuk mencari pegangan dalam kelemasan udara tercemar
dan beracun. Dan bila luput, rakyat terkapai-kapai mencakar ke arah udara.
Inikah yang dikatakan rakyat menjadi angkatan gagap yang diperanakkan
oleh angkatan kurang ajar. Daya hidup telah diganti oleh nafsu. Pencerahan
telah diganti oleh pembatasan. Jika rakyat terus begini , inilah angkatan
rakyat yang berbahaya. Bukan sahaja untuk generasi masakini malah buat angkatan
mendatang.
RAKYAT PERLU SIAP MENCARI PEMIMPIN SEJATI
YANG ISTIQAMAH
TERAS Pengupayaan Melayu
"
Akan tiba satu zaman atas manusia dimana perhatian mereka hanya tertuju pada
urusan perut , kehormatan mereka hanya pada benda semata-mata. Kiblatnya tak
jauh dari urusan seks , agamanya adalah harta dan perak . Mereka adalah makhluk
Allah yang terburuk dan tidak akan memperolehi kesenangan di sisi Allah "
( HR Ad-Dailami )
Ngeri membaca Hadith ini dikala kita mengenang gerangan nasib rakyat negeri ini
yang bakal membuat keputusan yang sangat penting pada PRU 13 yang sedang
dihitung hari saja.
Pokoknya rakyat siap tidak siap perlu bersedia. Siap memileh sejumlah sosok
pemimpin sejati dalam PRU 13 . Bersiap , tidak hanya menerima , bersedia
tidak cuma mendengar , justeru harus berani dan memberanikan. Bersedia membuat
anjakan dalam politik negara . Diikuti juga bersedialah bermula menjadi rakyat
penegur dan penyanggah kepada kuasa dan peneraju yang berkuasa bila menyeleweng
walau sesiapapun yang akan memerintah selepas keputusan PRU 13 diumumkan nanti.
Banyak yang rakyat boleh ambil iktibar dari perjalanan uruskelola pemerintahan dari pihak-pihak yang akan bersaing dalam PRU ke 13 ini. Sudah pasti rakyat mahu yang lebih baik jika tidak pun yang terbaik. Rakyat boleh melihat kejayaan , juga kegagalan. Boleh menilai antara slogan dan juga kenyataan . Boleh mengukur antara komitmen sebenar dan penyelewengan yang sangat ketara.
Rupanya banyak yang tidak disedari pemimpin dan mereka yang beria-ia teringin
menjadi pemimpin. Isu perubahan menjadi tema utama. Namun isi sebenar dari
maksud perubahan yang dilaungkan belum pasti dan tidak ketahui menjadi atau
sebaliknya.
Pokoknya kepincangan dikalangan pemimpin juga ada yang jelas bagaikan mentari ,
ada yang kabur persis kabus dipagi hari. Sangat banyak yang tersembunyi tanpa
diketahui.
Kini yang sudah lama menjadi Menteri ingin terus kekal menjadi Menteri lagi.
Yang sudah lama mengidam maseh terus menyimpan hajat. Yang mahu menjadi calon
PRU melobi terus . Mencari celah , menjenguk peluang dan mengintai kesempatan.
Tapi banyak yang tidak bersedia menjadi insan dua Umar ( Umar Al Khattab dan
Umar Abdul Aziz ) , jauh sekali meneladani insan Muhammad bila berada diteraju
kuasa. Bila ditegur menjadi marah. Karena merasa kena getah .
Padahal ia adalah hasil ulahnya sendiri akibat menaruh perhatian kepada resah
rakyat hanya dengan layanan sebelah mata. Akibat tenggelam dalam keenakkan
mendapat peluang menjadi wakil rakyat sehingga terjebak menyalahguna kuasa.
Akibat tipisnya rasa amanah.
Natijahnya Negara makin hancur , Bangsa makin parah. Tidak dikisahkan oleh mereka yang beraspirasi naik ke atas . Jika sudah berjaya berada diatas , awalnya kelihatan berjinak dengan rakyat, ditengahnya
mulai berkalutan , dihujung mulai sangat perit untuk bertemu janji , menjelang pilihanraya kembali berjinak , pesta turun padang katanya. Itulah putaran politikus yang berjenama wakil rakyat , lazimnya , terkecuali yang sedikit.
Apakah tahu atau tidak , ataukah layak atau tidak . Tidak dipeduli. Walhasil
rakyat terus diperbudak oleh politikus berkepentingan sehingga yang tidak
layak ditempatkan pada tempat yang bukan sepatutnya. Bukan pendidik, tapi
diberi tanggungjawab menulis buku pelajaran . Bukan ahli ekonomi , malah
menerajui pengurusan kewangan Negara. Tidak tahu kerenah pertanian , dilonjak
jadi Menteri Pertanian.
Sedangkan Menteri harus bertanggungjawab, tidak boleh cuma marah-marah bila
Kementerian dibawah kelolaaannya ditegur kerana terkhilaf dalam dasar dan
kebijakkan serta pincang dalam perlaksanaan.
Mesti sadar bahwa memimpin itu rumit , jangan yang dipikir hanya ringgit. Saman
kerana kelajuan di lebuh raya diprojekkan sebagai perniagaan, hingga hilang
timbangan terhadap kesan kepada rakyat. Kononnya YB ini bijak
berkomunikasi tapi komunikasi apa ? Komunikasi manipulasi dan berputar kata
melindungi kroni?
Inilah menteri yang dipilih karena faktor politik. Harapannya hanya untuk
disenangi pemimpin atasannya dan , didokong oleh sayap parti. Tak peduli
bidang yang menjadi tanggungjawabnya jungkirbalik.
Fahamkah para wakil rakyat dan yang beraspirasi untuk jadi wakil rakyat ,
bahawa dalam demokrasi , rakyat adalah sumber kedaulatan. Perhatikan kata-kata
Rendra "Kekuasaan tanpa rakyat adalah benalu tanpa karisma , Rakyat adalah
bumi , politik dan kebudayaan adalah udara , bumi tanpa udara adalah bumi tanpa
kehidupan , udara tanpa bumi , adalah angkasa hampa belaka"
Jelas , wakil rakyat adalah wakil dari sumber seluruh lapisan kehidupan
rakyat ; petani , kuli , buruh , nelayan , pekerja awam , pemandu teksi .
Bukan abdi kekuasaan.
Lantaran itu rakyat perlu celik untuk keluar dari kepompong yang membuat rakyat
selesa dalam keperitan , luka dalam kejenuhan , ditindas dalam kemanjaan.
Sepatutnya rakyat matang untuk menilai dan memerhati. Menilai pemimpin dan
memerhati pemerintah. Rakyat yang diperbodohkan tidak harus terus dibodohkan.
Rakyat yang dijadi alat jangan terus membiar diri menjadi alat sampai
bila-bila. Kuasa pemerintah boleh beraleh tangan. Tapi rakyat perlu faham ,
daulat pemerintah bermuarakan daulat rakyat.
Rakyat sudah terlalu lama berada dalam sel yang gelap dan kamar yang samar . Sel itu adalah sel pemikiran yang membeku dan sel sikap yang mempertahan status quo. Lantaran terlalu lama disumbat dalam sel beku itu rakyat menjadi terkucil dan terkunci , sehingga tidak ramai yang jelas perubahan apa yang sebenarnya yang dimahukan. Ramai yang tidak tahu banyak ketidakadilan berlaku dan penyelewengan yang bermain dibelakang pentas pentadbiran melibatkan penyalahgunaan khazanah Negara .
Akibat ketidaktahuan ini maka jadilah rakyat kehilangan wibawa dan upaya untuk membuat keputusan. Terpingalah rakyat membuat pilihan . Tergadailah kedaulatan rakyat. Di setiap waktu rakyat disumbat dengan ragam isu yang jenuh untuk dihadam oleh rakyat. Hampir nampak jelas kebobrokan negeri ditadbir dengan tipuhelah. Akan tetapi maseh nampak tanda rakyat terkurung dalam lingkaran dan dirantai ke batang karang.
Namun bukan tidak ada langsung yang celik dan yang sedar. Sudah sedemikian lama
menjadi kuda tunggangan mereka yang bercita-cita . Rakyat yang tidak pandai
menilai itu pun , ada yang sudah mendendam. Bagaikan ular sawa yang dulu
terlena kekenyangan. Kini mula bergerak melengkar dan menjulur , menghembus nafas
marah dek dipijak-pijak , lantaran sudah mula digigit kelaparan , mula sedar
hidup rakyat diperkotak-katikkan.
Malangnya bila ada segelintir suara rakyat yang menjerit "berubahlah
!" , segera pihak yang berkuasa mengecam dengan mengatakan ini suara pembangkang.
Lalu dihamun , dikutuk , disalahkan dan diputar beritanya menjadikan
suara rakyat yang tulin dipekakkan tanpa pengadilan. Padahal yang
dituntut rakyat hanyalah mahu penguasa jangan terus menyeleweng. Bukan
hasutan pembangkang. Bukan intimidasi politik . Hanya gelora nurani rakyat yang
tidak lagi mahu membendung kemarahan.
Bagi rakyat yang maseh terpinggir dan tertindas , secebis kesedaran menuntut
hak bagaikan mentari dan sekelumit kesabaran yang cuba disimpan dalam benak
persis bumi untuk menumpang manakala setitis keberanian menegur pemerintah
menjadi gunung berat untuk dipikul.
Memang segelintir rakyat faham betapa perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.mengangkat tema-tema perlawanan terhadap kemiskinan dalam bentuk protes dan
penyuaraan dan mencabar di mahkamah pengadilan dan perlawanan terhadap
kezaliman dan kemewahan dan penyelewengan .
Akan tetapi ini belum membolehkan rakyat mengecapi perubahan yang sebenar untuk
diterjemahkan.
Kalau dihubungkan dengan realiti kehidupan saat ini , keadilan di Negara ini masih lemah. Perjalanan Malaysia menuju keadilan maseh jauh. Tapi nyatanya sekarang Negara malah berada dipersimpangan. Berjalan ditepi gaung nyaris menunggu saat tergelincir. Politikus yang menjadi jaguh korupsi sampai menghabiskan jutaan wang rakyat maseh terlindung dari didakwa.
Birokrat yang lebih banyak berpolitik dari mentadbir , lebih tertumpu merebut tangga gaji dari menguruskan amanah rakyat. Ahli agama yang terjerat dengan mengejar pendapatan lebih dari mengeluarkan pendapat yang jujur untuk masyarakat. Teknokrat yang hanya bergelumang dengan perlumbaan menyaingi kecanggihan peralatan moden lebih dari memikirkan keutamaan menguruskan manusia.
Sungguh nahas negara ini , yang di harapkan generasi muda yang harus boleh mengubah dari yang buruk menjadi lebih baik, tidak kesampaian , jauh sekali dari melanjutkan perjuangan para pahlawan yang telah gugur membela Negara ini . Generasi muda semakin kecewa dan malah bebal.
Jika
ini menjadi fenomena , maka tidak boleh diharapkan rakyat 28 juta negara
ini dapat ang lebih baik selepas PRU 13 nanti. Apa yang mengkhuatirkan ialah
bila rakyat mengambil sikap tidak acuh dalam memperjuangkan keadilan untuk
tanah air ini. Tidak mahu terlibat dalam membawa keadilan yang dituntut.
Rakyat negeri ini bak bernafas dalam lumpur . Tercungap-cungap mengelupur
mencari udara. Sementara politik mafia menebalkan lagi lumpur itu. Tikus-tikus
politik berkeliaran di segala lubang. Muncul mengganas bagaikan mafia diupah untuk
merosakkan , mengugut , malah sedia membunuh. Maka berbenturanlah dalam medan
politik yang sepatutnya beradab , kini sudah menjadi sangat menjijikkan .
Maka rakyat perlu siap. Jangan mengeluh lagi , jika sesudah usia 55 tahun kita
menyahkan penjajah kemudian maseh gagal menjadi rakyat yang matang dalam
memileh pemimpin , maseh menjadi rakyat yang menerima sosok pemimpin yang hanya
pandai berpidato namun tidak mahir mengurus , rakyat yang cerdiknya hanya
pada takah menagih bantuan dari wakil rakyat sehingga sanggup menjadi budak dan
dadu yang dilempar untuk mengharap nasib ditentukan oleh orang lain , maka
jangan diharap kegelapan akan bertukar menjadi terang , jangan diimpikan daulat
politik kuasa akan diganti menjadi daulat rakyat.
Terserah sekarang kepada rakyat yang akan membuat pilihan. Jika gagal membuat
keputusan yang tepat , akan petakalah bumi bertuah ini. Jika tidak menjernihkan
pemilihan mengangkat sosok pemimpin yang tepat akan muramlah masa depan anak
cucu negeri ini.
Moga terhindarlah rakyat menjelma menjadi manusia seperti yang diungkap oleh
Rasulullah s.a.w itu. Wana'uzubillah.
Wassalam
TERAS KESAL ISU AMANAT
HADI DIMANIPULASI UNTUK KEPENTINGAN POLITIK
TERAS kesal kenapa isu Amanat Hadi kini mengambil tempat sentral dalam
perbahasan politik negara. Amanat Hadi yang sebenarnya secara asas tidak
mempunyai elemen yang secara terang-terangan bercanggah dengan hukum Islam ,
hanya menjadi isu apabila penguasa merasa ia terkait dengan faham sekular yang
dianuti oleh parti tersebut dan Amanat itu secara langsung mencabar fahaman
sekular yang ditolak oleh Islam.
Malangnya isu ini dikitar semula dengan harapan ia dapat meraih sokongan
dari pengundi Melayu untuk PRU 13 nanti , bukan kerana ingin menilai
Amanat itu dari segi ilmu.
Lebih pelik lagi kini kelihatan pendapat pemimpin dikalangan pemerintah sendiri
jelas saling bercanggah antara mereka. Ada yang mahu diberi peluang dijelaskan
dalam media awam , ada yang mahu Presiden Pas itu dipaksa menjelaskan atau
ditahan , ada yang mengatakan berbahaya diberi peluang disiar secara langsung ,
ada mahu didebatkan secara terbuka.
Hanya untuk memutuskan bagaimana memberi peluang untuk Presiden Pas itu
menjelaskannya melalui media , sudah terdapat kecelaruan berfikir sesama
pemimpin pemerintah.
Padahal yang awalnya , dikatakan Presiden Pas itu harus memberi penjelasan , kini
beraleh kepada soal syarat yang akan dikenakan jika kerajaan membenarkan
penjelasan beliau disiarkan secara langsung di RTM .
Tambah lagi kami juga kesal kenapa isu ini beraleh lagi kini kepada Amanat Hadi
itu dituntut ditarik balik atau dimansuhkan oleh beliau sendiri.
Sedangkan ketika isu ini timbul pada tahun 1981 , sememangnya perdebatan antara
Pas dan Umno dituntut oleh Pas sendiri , tetapi ditolak oleh Umno.
Lantaran itu kami mendapati debat yang berlarutan mengenai semada beliau akan
dibenar menjelaskan Amanat ini dalam media awam milik rakyat itu atau tidak ,
bukanlah isu pokok. Isunya ialah apakah faham yang tertera dalam Amanat
itu salah atau tidak. Inilah yang hendak diperjelaskan.
Perbedaan pendapat mengenai pegangan politik yang berkait dengan sesuatu faham
politik dari segi cara pemerintahan tidak salah . Terpulang kepada rakyat
memileh gagasan yang terbaik untuk dipileh memerintah negara.
Apa yang menjadi masalah ialah bila ujud faham bahawa politik tidak mahu
dipandukan oleh agama. Malah ada faham yang menolak politik dicampurkan
dengan agama.
Sudah tentu bila pegangan politik menghalalkan faham sekular dan menolak Hukum
Islam dalam pemerintahan ada sebab organisasi seperti Pas melakukan
perjuangan politik untuk mengambil aleh kuasa.
Lagi keras penentangan ditunjukkan kepada tuntutan melaksanakan Islam lagi
keras seruan perjuangan jihad dikumandangkan . Semakin ganas diperlakukan ke
atas mereka yang memperjuangkan tuntutan Islam dengan cara mengguna undang-
undang peninggalan penjajah untuk menyerang , menangkap , menzalimi dan
mengfitnah , lagi keras keazaman untuk menjelaskan kenapa pengikut harus
tegas menyatakan pendirian menentang pemerintah .
Ditambah lagi bila semakin jelas hukum Islam dibiarkan dihina dan diserang , penentang
syariat dilindungi dan media perdana menyuburkan penistaan terhadap Islam oleh
mereka yang bukan sahaja penganut Islam malah oleh yang mendakwa diri Islam
tetapi menolak syariat Islam , semakin nekad sikap menentang penguasa
dipertegaskan.
Sebab itu kami menegaskan isu Amanat ini bukan sahaja tidak wajar didebatkan
seperti yang dilakukan oleh mereka yang ghairah mempertahankan kuasa , malah ia
sepatutnya dilihat sebagai pemisah antara faham sekular dan faham Islam . Soal
bagaimana politik harus kembali ditundukkan kepada agama adalah isu yang lebih
asasi untuk diketengahkan.
Kini yang perlu ditentukan ialah bagaimana kefahaman yang salah mengenai
politik dan agama perlu diperbetulkan. Menolak agama sebagai pemandu politik
adalah punca kemungkaran dalam pemerintahan . Memisahkan agama dari politik
adalah punca umat berpecah secara politik kepartian.
Kami menuntut agar isu ini tidak dipanjangkan lagi. Jika kesediaan memberi
penjelasan terhadap isu Amanat ini mahu diberi oleh Presiden Pas Itu , maka hendaklah
ia disambut dengan positif. Tidak perlu dikenakan syarat . Dengan itu
diharapkan isu ini tidak akan menajamkan lagi persengketaan antara umat.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
TERAS TOLAK WARISAN
MERDEKA
Dari awal sejak cadangan Warisan Merdeka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk
Seti Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet 2012 , TERAS Pengupayaan
Melayu (TERAS) telah menyatakan pendidiran membantah dan menolak projek
tersebut.
Projek ini bukan sahaja akan menghapuskan tapak yang sangat bersejarah kepada
negara sebagai lambang khazanah rakyat yang sangat berharga malah ia adalah
juga suatu simbol kebanggaaan negara yang mempunyai wajah sejarah yang sangat
unggul.
Warisan Merdeka yang sangat berciri kapitalis yang dicadang akan menegakkan
monumen setinggi 118 tingkat tidak mungkin dapat menyamai lambang sejarah dua
stadium yang tertua negara iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka yang bakal
terjejas jika projek Wairsan Merdeka ini diteruskan.
Projek ini tidak lain dari hanya melambangkan ciri penguasaan konglomerat pemodal besar di bandar Raya Kuala Lumpur yang megah dengan bangunan mega besar dan mencakar langit , jelas yang tidak mempunyai sebarang relevan kepada kebanyakan rakyat di negara ini semada dari sudut ekonomi mahupun sosio-budaya.
Kami persoalkan sejauhmana projek Warisan Merdeka yang dijangka menelan belanja
rm 5 bilion ini dapat bermanfaat kepada rakyat terbanyak. Bukan sahaja ia akan
lebih memihak kepada peniaga besar , malah ia akan melenyapkan warisan penting
kota Kuala Lumpur yang penting dihargai oleh generasi mendatang.
Kami melihat projek ini tidak lain dari hanya satu lagi projek kapitalis kroni
yang mencari peluang untuk membolot harta negara atas nama kononnya bernuansa
sejarah iaitu dengan nama Warisan Merdeka.
Pada hakikatnya ia hanyalah satu lagi projek yang akan menyamai projek Menara
Berkembar Petronas yang kini sudah tidak mempunyai lot bumiputra lagi kerana
tidak ada usahawan bumiputra yang mampu menyewa ruang niaga kompleks mewah itu.
Kami tidak nampak sebarang relevan dari segi ekonomi rakyat terbanyak mahupun
kesan sosial yang positif jika projek ini diteruskan. Ia akan lebih menjadi
kompleks mewah yang akan menyisihkan peniaga kecil dan sederhana.
Seperti biasa maklumbalas awam tidak pernah dijadi rujukan dan pendekatan
kerajaan untuk meneruskan projek mega seperti ini. Inilah amalan yang nampaknya
kekal pada kerajaan yang sedia ada. Keputusan dibuat dengan pemaju projek dan
kerajaan akan menggunakan pengaruh dan kuasa politik untuk mengenepikan suara
rakyat.
Sepatutnya rakyat berhak menyuarakan pendapat dan membantah projek yang
menjejaskan warisan milik rakyat . Manakala pihak kerajaan tidak sepatutnya
menjadi wakil kepada pemaju bila berhadapan dengan bantahan rakyat.
Jika ini dilakukan oleh kerajaan iaitu memihak kepda pemaju projek maka
sebenarnya kerajaan sebenarnya mengamalakan pendekatan kaedah " korporat
diutamakan dan rakyat diketepikan".
TERAS turut memandang serius terhadap ketidaktelusan pihak kerajaan dan DBKL
yang sehingga ini tidak mendedahkan apakah status projek ini .Datuk Bandar KL
seharusnya mengambil perhatian serius pandangan rakyat kota sebagai pihak
berkepentingan yang sangat signifikan dan mempunyai locus standi untuk diberi
perhatian.
Keputusan dari atas ke bawah yang dipengaruh oleh orang politik adalah tidak wajar dipertahankan ketika memutuskan untuk melaksanakan projek ini kerana rakyat adalah "stakeholder" terpenting dalam mempertahankan status tapak warisan negara ini.
TERAS mendesak projek ini tidak diteruskan dan kawasan disekitar Stadium
Negara dan Stadium Merdeka diwartakan sebagai warisan negara.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS